Sejarah Penubuhan Universiti_Malaysia_Perlis

UniMAP mula beroperasi di kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, Perlis pada 2 Mei 2002. Aktiviti pembangunan kurikulum, pembangunan fizikal dan pengambilan staf bermula selepas perlantikan Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor pada 16 Februari 2002. Manakala pengambilan pelajar pertama seramai 119 orang bagi sesi akademik 2002/2003 dibuat pada 20 Jun 2002. Bermula dengan dua program pengajian yang ditawarkan, kini UniMAP berjaya menawarkan 6 program Diploma, 37 program Ijazah Sarjana Muda, 20 program Sarjana dan 12 program Doktor Falsafah dengan bilangan pelajar ketika ini adalah hampir 10,000 orang.

Terletak di utara semenanjung Malaysia, UniMAP merupakan kampus teragih (distributed campus) dimana lokasinya terletak lebih dari 30 lokasi diseluruh pelosok negeri Perlis.

Kampus tetap UniMAP dikenali sebagai Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, meliputi keluasan 1,050 ekar dan di Kampus Hijau UniMAP Sungai Chuchuh seluas 300 ekar. Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra kini menempatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Mikroelektronik, PPK Komputer dan Perhubungan dan PPK Sistem Elektrik. Selain itu, terdapat juga bangunan, Pusat Kejuruteraan, Pusat Kerjasama Industri, Institut Matematik Kejuruteraan, Kompleks Dewan Kuliah, Dewan serbaguna, Kolej Kediaman menerusi pembangunan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Innitiative; PFI), Litar Go-Kart bertaraf Antarabangsa serta Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Di Kampus Hijau UniMAP Sungai Chuchuh terdapat Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Kolej Kediaman yang menggunapakai konsep IBS dan Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) dengan memiliki sembilan buah Rumah Hijau Berteknologi Tinggi dimana dua daripadanya dikhaskan untuk penyelidikan Harumanis.

Selain itu, hasil kerjasama UniMAP dan JPB Asia Pacific Sdn Bhd dibawah peneraju Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), satu Projek Perintis Pengeluaran Mangga Harumanis Sepanjang Tahun secara Komersil sedang dilaksanakan melibatkan dua fasa. Bagi pembinaan fasa pertama melibatkan 50 buah Rumah Hijau dimana setiap satunya berkeluasan 0.5 ekar dan pembinaan fasa kedua juga melibatkan 50 buah Rumah Hijau.